Orang
Bugis mula datang ke Tanah Melayu dengan jumlah yang besar pada awal kurun
ke-18. Pihak Belanda tidak campur tangan dalam urusan orang Bugis dan
membiarkan Kerajaan Johor-Riau jatuh ke tangan mereka. Hanya apabila orang
Bugis mula memberi saingan yang hebat dalam perdagangan bijih timah, barulah
pihak Belanda mengambil tindakan terhadap mereka.
Oleh
yang demikian, pada tahun 1784 Belanda menawan Riau, pusat kerajaan tersebut
dan menjadikan kerajaan Johor-Riau sebagai jajahan negara Belanda. Peperangan
yang berlaku di antara Bugis dan Belanda dari tahun 1755 hingga tahun 1758 dan
dari tahun 1783 hingga tahun 1784 bukan hanya melemahkan kuasa dan pengaruh
Belanda di kawasan tersebut, malah telah menyebabkan kekayaan Syarikat Hindia
Timur Belanda merosot. Walaupun Melaka masih lagi menarik perhatian para
pedagang, Riau telah mengambil alih tempat sebagai pintu masuk ke Selat Melaka.
Pihak Inggeris pula sudah mula tiba ke kawasan ini sebagai satu kuasa baru,
terutamanya selepas peperangan keempat mereka dengan Belanda di antara tahun
1781 hingga tahun 1783. Mereka juga berjaya mempengaruhi beberapa pemerintah
tempatan untuk menyebelahi mereka dan telah membuka sebuah pengkalan di Pulau Pinang
pada tahun 1786.
Golongan Revolusi Perancis yang
telah mengisytiharkan perang dengan Inggeris pada tahun 1793, telah diundang
oleh Pergerakan Patriotik Revolusi Belanda yang dikenali sebagai “The Velvet
Revolution” pada tahun 1795 untuk menyerang Raja Belanda, William V of Orange,
yang meminta perlindungan Inggeris. Oleh kerana itu, seluruh jajahan Belanda di
seberang laut terpaksa mengambil langkah untuk mempertahankan diri mereka
sendiri tanpa bantuan daripada kerajaan pusat. Justeru, pihak Inggeris
memutuskan untuk mengambil alih seluruh jajahan Belanda bagi mengelakkan mereka
dirampas oleh pihak Perancis.
Pada 15 Ogos 1795, angkatan
Inggeris telah tiba di Melaka dan mengambil alih kuasa dari tangan Gabenor
Belanda, Abrahamus Couperus. Walaupun berlaku tentangan terhadap penyerahan
Melaka kepada Inggeris, ianya tidak mengakibatkan sebarang pergeseran di antara
mereka. Melaka terus ditadbir oleh pegawai Belanda di bawah pengawasan seorang
Residen Inggeris.
Berdasarkan
Perjanjian Vienna pada tahun 1814, Melaka telah dikembalikan kepada Belanda
pada 21 September 1818, namun Melaka diserahkan semula kepada pihak Inggeris
pada 17 Mac 1824 berikutan Perjanjian London. Perjanjian ini membolehkan kedua-dua
kuasa barat ini menumpukan perhatian mereka kepada kawasan jajahan
masing-masing.
Robohnya Kota Melaka
Pihak
Inggeris di Pulau Pinang mengetahui bahawa Melaka perlu diserahkan kembali
kepada Belanda apabila tamat perang. Namun, Inggeris enggan memulangkan Melaka
kerana khuatir ianya akan mengganggu pembangunan penempatan baru mereka di
Pulau Pinang. Oleh yang demikian, mereka bertindak merosakkan nama dan pengaruh
Melaka dengan mengalihkan tumpuan perdagangan dari Melaka ke Pulau Pinang,
merobohkan kubu dan kota Melaka serta memindahkan 15,000 orang penduduknya ke
Pulau Pinang. Dengan cara ini, Melaka tidak lagi dapat menyaingi Pulau Pinang
dari segi perdagangan apabila ia diserahkan semula kepada pihak Belanda.
Seterusnya, jika terdapat keperluan untuk menyerang Melaka pada masa akan
datang, tiada lagi kubu tersebut untuk menghalang mereka.
Gabenor
Pulau Pinang telah mengarahkan Kapten William Farquhar untuk memusnahkan kubu
Melaka pada tahun 1807 dan hampir keseluruhan kubu tersebut dimusnahkan pada tahun
1808. Walau bagaimanapun, Stamford Raffles, yang merupakan pembantu setiausaha
negeri Pulau Pinang telah tiba di Melaka untuk bercuti. Setelah mendapat
kebenaran daripada Lord Minto, Gabenor Jeneral India, beliau sempat
menghentikan kerja-kerja merobohkan kubu Melaka serta pemindahan penduduk
Melaka yang berterusan. Raffles mengagumi kota lama Melaka kerana beliau
mempunyai minat yang mendalam terhadap sejarah, kebudayaan, bangsa dan bahasa
Melayu. Beliau juga berjaya menyelamatkan pintu gerbang kubu Melaka dari
diroboh dan ia masih kekal hingga ke hari ini. Usaha merobohkan kubu Melaka
yang melibatkan beberapa ratus orang pekerja telah menelan belanja sebanyak
70,000 pound sterling.
Kemerosotan dan Kejatuhan Melaka
Ekonomi
Melaka mula merosot di sekitar pertengahan zaman penjajahan Belanda, di mana
Melaka hanya dijadikan sebuah gudang untuk Betawi. Penyerahan Melaka kepada
Inggeris memburukkan lagi keadaan kerana polisi mereka pada waktu itu adalah
untuk menjatuhkan Melaka agar ia tidak mampu bersaing dengan Pulau Pinang. Akan
tetapi, apabila Melaka diserahkan kepada Inggeris buat kali kedua pada tahun
1824, pihak Inggeris cuba membangunkan kota tersebut namun usaha itu tidak
begitu berjaya. Kawasan negeri Melaka menjadi semakin kecil dan pengeluaran sumber
asli seperti emas dan bijih timah juga turut berkurangan. Kerajaan Inggeris
telah menghadkan pembangunan Melaka dan penduduk tempatan pula tidak mempunyai
sumber untuk mengekang kemerosotan ekonomi Melaka. Pelabuhan Melaka tidak lagi
menjadi pilihan kapal-kapal dagang setelah kehilangan daya tarikannya.
Negeri-negeri Selat (1826)
Pada tahun
1826, Pulau Pinang termasuk Seberang Perai, Melaka dan Singapura telah
digabungkan untuk membentuk Negeri-negeri Selat. Pulau Pinang, yang merupakan
penempatan terawal Inggeris telah dijadikan sebagai pusat pentadbiran. Lama
kelamaan, kepentingan Melaka semakin luput manakala Pulau Pinang pula semakin
membangun. Namun begitu, kemajuan di Singapura juga telah meningkat dari segi
jumlah penduduk dan perdagangan, lantas pusat pentadbiran dipindahkan ke
Singapura pada tahun 1832. Negeri-negeri Selat berada di bawah penguasaan
Gabenor Jeneral di Kalkatta. Walau bagaimanapun, pada tahun 1867, Negeri-negeri
Selat diasingkan dari penguasaan Inggeris di India dan telah dijadikan sebuah
Koloni Diraja secara langsung di bawah penguasaan Pejabat Tanah Jajahan di
London.
No comments:
Post a Comment