PENDAHULUAN
Manusia memang mementingkan
sejarah dan tidak berupaya untuk melupakannya. Sebelum isu ini dikupas dengan
lebih mendalam, maka perlulah kita mengetahui pengertian sejarah itu sendiri.
Pemahaman yang mendalam tentang sejarah itu sendiri akan memperlihat
kepentingannya yang tidak dapat tidak bagi masyarakat sekarang untuk menerimanya.
Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga, ‘sejarah’ membawa maksud asal-usul
(keturunan), salasilah, peristiwa yang benar-benar berlaku pada waktu yang
lampau, kisah, riwayat, tambo, kajian atau pengetahuan mengenai
peristiwa-peristiwa yang telah lalu, tawarikh. Orang Barat yang terdiri
daripada Herodotus telah menyamakan perkataan sejarah dengan perkataan Inggeris
iaitu Histories. Perkataan ini berasal dari perkataan Historia yang bererti
penyelidikan atau penyiasatan. Di sini menunjukkan bahawa pengkajian sejarah
bergantung sepenuhnya kepada penyelidikan terhadap perkara-perkara yang
benar-benar pernah terjadi.
Manakala secara umumnya sejarah
itu dapat didefinisikan sebagai rekonstruksi masa lalu. Jangan dibayangkan
bahawa membangun kembali masa lalu itu untuk kepentingan masa lalu itu sendiri
kerana itu merupakan antikuarianisme dan bukan sejarah. Juga jangan dibayangkan
masa lalu yang jauh. Hal ini kerana menurut salah seorang sejarawan Amerika,
sejarah itu ibarat orang menaiki kereta menghadap ke belakang.
KEPENTINGAN SEJARAH KEPADA
MANUSIA
Sejarah sememangnya memainkan
peranan yang penting dalam kehidupan manusia pada masa sekarang mahupun pada
masa hadapan walaupun sesetengah masyarakat awam berpendapat sejarah itu
hanyalah rangkaian kisah lalu dan tidak perlu diungkit lagi. Malah menurut
mereka iaitu masyarakat awam yang tidak mempunyai kefahaman mengenai disiplin
ilmu sejarah ini, belajar sejarah itu bukannya kewajipan dan tidak
mempelajarinya bukanlah satu kesalahan. Pandangan ini sememangnya tidak benar
bagi golongan intelek sejarah kerana menurut mereka sejarah itu merupakan
peristiwa masa lalu yang kita harus terima ia mempunyai kegunaan, malah nilaian
tertentu, dalam kehidupan manusia. Sedikit sebanyak kita dapat melihat bahawa
sejarah itu suatu proses yang bersambungan; kita dapat merasakan bahawa sesuatu
peristiwa yang kita hadapi pada hari ini merupakan sebahagian daripada
peristiwa semalam dan kemungkinan besar pula akan menunjang menjadi sebahagian
daripada peristiwa yang akan berlaku pada masa akan datang.
Sejarah dikatakan penting bagi
meningkatkan ilmu pengetahuan di kalangan masyarakat terutamanya masyarakat
intelek yang beria-ia untuk mendalami kepelbagaian disiplin ilmu pengetahuan
seterusnya merakamkannya sama ada dalam bentuk bercetak, audio mahupun visual.
Rakaman atau pendokumentasian ini akan disebarluaskan ke segenap lapisan
masyarakat. Kita sebagai manusia seharusnya mengetahui akan diri kita dan
mengetahui keupayaan diri kita sendiri. Hal ini dapat kita ketahui melalui
sejarah. Menurut pendefinisian sejarah oleh Carr, menunjukkan bahawa sejarah
berfungsi untuk menyimpan dan meneruskan pengalaman-pengalaman secara kolektif
dari satu generasi ke satu generasi berikutnya dan dengan itu berlakunya proses
pembudayaan, sosialisasi dan pendidikan secara terus-menerus. Sejarah penting
dalam meningkatkan pengetahuan ini dapat kita sorotkan dalam Tuhfat Al-Nafis
yang menerangkan perihal kesultanan Melayu Johor-Riau dan Bugis. Tulisan ini
menceritakan asal-usul, peperangan, pemerintahan dan segala macam mengenai
kesultanan Melayu Johor-Riau dan Bugis. Jadi melalui pembacaan dan pengkajian
yang lebih mendalam tentang tulisan ini iaitu Tuhfat Al-Nafis, pembaca dan
pengkaji akan sekaligus dapat meningkatkan pengetahuan mengenai kesultanan Melayu
Johor-Riau dan Bugis. Tuhfat Al-Nafis hanya merupakan salah satu contoh dalam
memperkenalkan kepentingan sejarah sebagai pemangkin dalam meningkatkan ilmu
pengetahuan.
Sejarah turut berperanan dalam
memberi pendidikan kepada masyarakat terutamanya pendidikan moral. Ini dapat
dibuktikan melalui peristiwa-peristiwa dalam Sejarah Melayu yang memberi
pendidikan moral kepada kita. Misalnya, salah satu faktor keruntuhan kerajaan
Singapura adalah akibat kezaliman rajanya iaitu Raja Iskandar Syah yang telah
mengaibkan rakyatnya akibat sikapnya yang membuta-tuli dengan menjatuhkan
hukuman yang mengaibkan terhadap gundik kesayangannya iaitu puteri Sang Rajuna
Tapa yang difitnah . Hal ini telah menyebabkan Sang Rajuna Tapa belot dan
berkrompomi dengan Majapahit seterusnya membolehkan Majapahit menawan
Singapura. Di samping memberi pendidikan moral kepada masyarakat, sejarah juga
memainkan peranan yang penting dalam pembinaan intelektual. Pembinaan
intelektual bermaksud pembinaan dari segi pemikiran sesebuah masyarakat terutamanya
yang mengkaji peristiwa sejarah. Pembinaan moral dan intelektual di kalangan
masyarakat amat penting kerana tanpa kedua-dua aspek ini maka masyarakat yang
lahir merupakan masyarakat yang kurang matang dalam segala aspek kehidupan dan
tidak mampu serta tidak bersedia untuk menghadapi dunia mendatang.
Sejarah juga dikatakan
berkepentingan untuk mematangkan minda dan diri manusia. Hal ini kerana,
melalui pengkajian sejarah maka kita akan dapat memperoleh ilmu pengetahuan dan
pelbagai maklumat. Dapatan kajian mengenai sejarah terutamanya
peristiwa-peristiwa sejarah yang menjadi sumber ilmu pengetahuan dan maklumat
akan diolah, diproses dan dicerna oleh minda dan ini akan mewujudkan paradigma
dalam pemikiran. Melalui kematangan minda, maka manusia akan dapat meningkatkan
keyakinan diri setelah melihat keterlibatan dan peranan serta sumbangan
tokoh-tokoh sejarah terutamanya mereka yang terlibat dalam proses perkembangan
tamadun sama ada tamadun dunia ataupun tamadun setempat. Kita dapat lihat
melalui sejarah kemerdekaan negara kita Malaysia, Tunku Abdul Rahman telah
mempelopori langkah kemerdekaan negara kita melalui rundingan bukannya melalui
pertumpahan darah. Peristiwa ini jelas menunjukkan sumbangan tokoh-tokoh dalam
memperolehi kemerdekaan. Sudah tentu sumbangan tokoh-tokoh ini menjadi penting
dalam sejarah hari ini kerana melalui sumbangan mereka akan memberi keyakinan
diri kepada masyarakat untuk memperbaiki kehidupan mereka pada hari ini dan
masa depan.
Salah satu sebab yang memuatkan
sejarah itu tidak dapat untuk dilupakan dan senantiasa penting sama ada untuk
hari ini mahupun masa depan adalah disebabkan sejarah itu merupakan warisan
untuk generasi akan datang. Sememangnya setiap perkara baik yang kita lakukan
sudah pasti ita mahu perkara itu diwarisi dan diperturunkan kepada generasi
kita akan datang. Hal ini kerana setiap peristiwa itu mempunyai kebaikan dan
keburukannya, maka generasi baharu perlulah mentelaahnya dan mengaplikasikan
dalam kehidupan yang mendatang. Perihal yang baik dijadikan tauladan, manakala
perihal yang buruk dijadikan sempadan. Kita dapat perhatikan melalui pengamalan
adat Melayu yang menerima pengaruh India dan sesetengahnya masih diamalkan
hingga ke hari ini. Pertalian adat Melayu dengan India dapat dilihat dalam adat
istiadat pertabalan iaitu Sultan duduk di atas takhta tidak bergerak-gerak
semasa upacara dijalankan. Ini adalah satu ciri sifat devaraja. Adat ini
merupakan salah satu daripada warisan untuk generasi akan datang. Manakala
menurut Raja Ali Haji:
Keluh-kesah duduk berpindah
Memikirkan perkataan barang yang
indah.
Hal ini saya permaklumkan
Kepada Tuan Penghulu saya
sembahkan
Sampailah hajat yang dicitakan
Mudah-mudahan dapatlah
dipergunakan.”
Sejarah amat sinonim dengan
pengajaran. Hal ini kerana sejarah merupakan himpunan kisah-kisah yang telah
lalu. Jadi terdapat kepelbagaian peristiwa dan fenomena telah berlaku dan ini
memungkinkan generasi baru untuk mengambil iktibar dan pengajaran. Walau
bagaimanapun, sejarah itu sememangnya perlu dijadikan sumber kesedaran kepada
masyarakat dalam memupuk semangat bagi memperbaiki segala kelemahan, menilai
kesilapan yang telah dilakukan oleh masyarakat tradisi, memulihkan semula
kekuatan moral dan mental bagi kemajuan individu, masyarakat, dan negara. Ranke
mengakui bahawa matlamat utama ahli sejarah ialah untuk menghasilkan sejarah
dunia, yang mana peristiwa-peristiwa setempat harus dicantumkan dalam satu
rangkaian yang melibatkan seluruh dunia. Namun, percantuman ini tidak harus
mengabaikan penelitian peranan individu, generasi, institusi, negara dan bangsa
yang wujud secara berasingan tetapi berinteraksi antara satu sama lain untuk
mencetuskan kejadian-kejadian yang bersifat sejagat itu. Pada amnya, setiap
anggota masyarakat, yang psikologinya tidak dirosakkan oleh penekanan
penjajahan ataupun sistem politik tradisi yang beku, akan mempunyai daya usaha
serta kekuatan untuk berjuang demi menebus kembali kekurangan dan juga
kegagalannya pada masa lepas. Dalam hal ini, masa lalu itu merupakan petunjuk
bagi seseorang insan untuk mengendalikan masa yang sedang dihadapinya dengan
penuh keyakinan dan kekuatan. Seperti yang telah disebutkan, manusia juga akan
menggunakan masa lalu sebagai petunjuk bagi merancang masa depan yang lebih
bermakna. Skop ini dapat kita perhatikan peristiwa ketidaksetiaan sesetengah
golongan pembesar Melaka pada awal abad ke-15 yang bersubahat dengan Portugis
telah menjadi salah satu daripada faktor runtuhnya empayar Melaka. Peristiwa
ini boleh dijadikan pengajaran yang berguna kepada masyarakat kini iaitu kita
semua mestilah bersatu-padu dalam menjaga keutuhan dan kedaulatan negara kita
daripada dicemari oleh sebarang unsur asing yang berbentuk penjajahan.
KEPENTINGAN
SEJARAH
Sejarah juga berkepentingan dalam
memupuk perasaan ke arah mewujudkan perpaduan sosial. Perpaduan sosial yang
dicanang ini bukanlah bertujuan untuk mengubah atau menginterpretasi semula
sejarah lalu, tetapi pemupukan terhadap perpaduan sosial ini lebih kepada
penerapan bagi generasi sekarang dan seterusnya digunapakai sebagai rujukan
oleh generasi akan datang. Perpaduan sosial ini dikatakan menjadi salah satu
daripada sebab mengapa sejarah itu tidak dapat dilupakan kerana terdapat
pelbagai peristiwa lalu yang berlaku berhubung kait dengan konsep perpaduan.
Antara peristiwa sejarah yang tidak dapat dipertikaikan lagi akan hubung
kaitnya dengan perpaduan sosial ialah peristiwa 13 Mei 1969. Peristiwa ini
telah menyebabkan berlakunya banyak kerosakan harta benda dan kehilangan nyawa
serta keadaan fizikal dan harta benda awam banyak yang musnah. Perintah
berkurung juga telah dilaksanakan untuk mengawal keselamatan dan kestabilan
negara sehingga masyarakat tidak bebas mencari nafkah dan juga berinteraksi
antara satu sama lain. Keadaan dan peristiwa pahit ini telah menuntut
masyarakat agar mengekalkan perpaduan dengan mengikis sikap perkauman supaya
keamanan dapat dicapai. Perpaduan sosial dapat juga dilihat melalui peristiwa
apabila parti-parti politik dari 3 kaum terbesar di Malaysia iaitu UMNO (United
Malay National Organation), MCA (Malayan Chinese Association) dan MIC (Malayan
Indian Congress) bersatu membentuk satu parti perikatan untuk mendapatkan
sokongan dari kaum masing – masing bagi membentuk satu kerajaan yang kukuh.
Kejayaan parti perikatan ini dapat dibuktikan melalui kejayaan membubarkan
rancangan Malayan Union. Kejayaan ini dapat dilihat melalui kemenangan bergaya
dalam Pilihanraya Umum 1955 iaitu memenangi 51 kerusi daripada 52 kerusi dan
satu kerusi dimenangi oleh Parti Islam Se-Malaysia. Dengan wujudnya toleransi
di kalangan 3 kaum terbesar ini maka proses persefahaman ke arah melahirkan
semangat kerjasama telah menampakkan hasil yang diharapkan iaitu kita telah
mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Inilah yang dikatakan sejarah itu
penting dalam memupuk perpaduan sosial.
Sejarah juga tidak boleh tidak
berperanan dalam pembangunan bangsa dan negara. Kita sudah pasti akan
mempertahankan kegemilangan dan pencapaian yang pernah dicapai oleh seseorang
atau oleh sesebuah negara. Kita sememangnya akan mengingati tanggal 31 Ogos
1957 dimana British telah bersetuju memberi kemerdekaan kepada Persekutuan
Tanah Melayu. Pejuang-pejuang yang telah berjuang demi memperolehi kemerdekaan
dan terkorban di medan perang akan dikenang sampai bila-bila. Pemahaman tentang
hubungan budaya yang lalu dengan budaya masyarakat hari ini perlu untuk membuat
perbandingan bagi membangunkan dan memajukan masyarakat serta negara pada hari
ini dan masa depan. Kita dapat rujuk kepada sejarah Indonesia yang mundur dalam
industrialisasinya dapat belajar dari negara industrial dan negara pascaindustrial.
Dari Jepun pula, kita dapat belajar bagaimana mempunyai industri besar tanpa
mematikan industri kecil. Memang benar bahawa kedua-dua negara iaitu Jepun dan
Indonesia mengalami industrialisasi dalam keadaan yang berbeza, tetapi
kedua-duanya merupakan bangsa Timur dan sama-sama mempunyai tradisi ketimuran.
Melalui kedua-dua peristiwa sejarah tersebut kita mampu mencari formula bagi
membangunkan negara dengan menggunakan kaedah yang bersesuaian. Dasar Ekonomi
Baru dan Rangka Rancangan Jangka Panjang Pertama yang dilaksanakan sejak 1971
telah berakhir pada penghujung 1990. Sebagai gantinya Dasar Pembangunan Negara
(DPN) telah diperkenalkan dengan 1990. Sebagai gantinya Dasar Pembangunan
Negara (DPN) telah diperkenalkan dengan bermatlamatkan pembangunan yang
seimbang untuk membentuk masyarakat yang lebih adil lagi bersatu. Dasar ini
menekankan pertumbuhan mapan dengan harapan akan membolehkan penduduk Malaysia
menyertai kegiatan – kegiatan utama ekonomi, sekaligus mempastikan kestabilan
politik dan perpaduan negara. DPN yang merangkumi RRJP 2 telah meneruskan RRJP
1 tetapi dengan rangka yang lebih luas dari segi meyatupadukan masyarakat.
Malah ia memberi tumpuan kepada golongan miskin dan mengurangkan kemiskinan
relatif, mewujudkan pekerjaan dan membentuk sebuah Masyarakat Perdagangan dan
Perindustrian Bumiputra (MPPB). Pembentukan dasar ekonomi ini yang
bertitik-tolak daripada ketidakseimbangan ekonomi yang telah mencetuskan
rusuhan antara kaum di Malaysia. Melalui pembentukan dasar ekonomi ini, keamanan
dalam masyarakat dapat dikembalikan, ekonomi dapat dipulihkan serta
dieksploitasi sama rata dan pembangunan negara dapat dijana. Jadi, contoh
peristiwa-peristiwa sejarah tersebut menggambarkan peripentingnya sejarah dalam
membangunkan bangsa dan negara.
Melalui pembacaan, pengolahan,
penelitian, dan pengkajian mengenai sejarah mencetuskan satu simpulan idea yang
membenarkan pernyataan bahawa manusia memang mementingkan sejarah dan tidak
berupaya melupakannya. Falsafah sejarah tidak memberi tumpuan sama ada kepada
‘masa lampau itu sendiri’ ataupun kepada ‘tanggapan ahli mengenainya secara
tersendiri’, tetapi kepada ‘kedua-dua perkara tersebut dalam perkaitan antara
sesama mereka’. Klausa ini membayangkan kedua-dua pengertian ‘sejarah’ masa
kini dan siasatan yang dijalankan oleh ahli sejarah dan siri-siri peristiwa
masa lampau yang disiasat olehnya. Masa lampau yang dikaji oleh ahli sejarah
bukanlah suatu masa lampau yang telah mati, tetapi masa lampau yang dari
beberapa segi masih hidup pada masa kini. Pengkajian sejarah oleh ahli-ahli
sejarah telah mengeksploitasi kepelbagaian sumber dan kemudiannya dirakamkan
sama ada dalam bentuk bercetak, audio mahupun visual. Rakaman elektronik atau
bercetak ini akan disebarluaskan ke segenap lapisan masyarakat, malahan mampu
digunapakai oleh masyarakat antarabangsa. Melalui pemahaman daripada
penyebarluasan maklumat sejarah ini akan sekaligus meningkatkan peripentingnya
sejarah itu kepada manusia sejagat.
No comments:
Post a Comment